KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan menyasarkan penghantaran lapan kontena bantuan makanan segera berteknologi pensterilan ke Gaza bulan ini.
Inisiatif #MisiRakyatUntukGaza: Nasi Arab Untuk Gaza bertujuan menyediakan makanan siap dimakan yang berkhasiat dan tahan lama kepada lebih 30,000 penduduk Gaza.
Pengarah Projek Nasi Arab Untuk Gaza Ali Ikhwan Nordin berkata setiap kontena dijangka mengandungi 1,000 pek makanan.
“Dalam situasi akses kepada makanan amat terhad, setiap pek nasi Arab ini bukan sekadar santapan, tetapi simbol kasih dan solidariti rakyat Malaysia buat saudara kita di Gaza,“ katanya.
Teknologi pensterilan memastikan makanan kekal segar, selamat dimakan dan boleh disimpan lama tanpa perlu disejukkan.
Menu nasi Arab ayam atau daging dipilih kerana mudah diterima masyarakat Timur Tengah dan mengandungi sumber protein tinggi.
Sekiranya berlaku kelewatan penghantaran ke Gaza, bantuan akan disalurkan ke kem pelarian di Lubnan, Yaman atau Syria.
Misi ini menghimpunkan kerjasama pelbagai NGO termasuk Muslim Care Malaysia, Ikhlas Care dan Cinta Gaza Malaysia.
Ali menyeru rakyat Malaysia menyokong kempen dengan sumbangan serendah RM10 seminggu bagi memastikan kesinambungan bekalan bantuan.
“Sekecil mana pun sumbangan, ia memberi makna besar kepada mereka yang kelaparan,“ katanya. – Bernama