Your Title

KUCHING: Perancangan Sarawak untuk membina lapangan terbang antarabangsa serta pelabuhan baharu di bandar ini merupakan dua projek mega negeri yang bakal merancakkan ekonominya untuk jangka masa panjang.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kedua-dua projek berkenaan akan dilengkapi dengan teknologi canggih serta kemudahan bertaraf antarabangsa, sekali gus menjadikan Kuching lokasi strategik bagi sektor perkapalan dan penerbangan di rantau ini.

“Ini akan menjadi satu pemangkin untuk merancakkan lagi perkembangan ekonomi kita khususnya dari sudut ketersambungan, pelancongan dan institusi yang boleh mengembangkan ekonomi kita secara menyeluruh, melangkaui 2030.

“Kedua-dua ini adalah rancangan strategik dalam kita menjadi hab kerana kita adalah di bahagian barat Borneo dan di antara (yang menyumbang kepada) trafik ekonomi perkapalan dan juga penerbangan dari barat ke timur Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Innocement Sdn Bhd dan PMW Industries Sdn Bhd di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar akan dijadikan sebagai model bagi pembangunan lapangan terbang itu kelak.

“Kita sekarang (dalam proses) melantik pakar yang mungkin akan terbabit dalam perancangan (lapangan terbang baharu) itu. Saya fikir anggarannya untuk siap dalam tempoh tiga tahun jadi kita dalam peringkat perancangan,” katanya.

MoU yang ditandatangani hari ini bertujuan mewujudkan kilang pembuatan cerucuk konkrit, tiang, dan produk-produk berkaitan untuk pasaran Sarawak di Tanjung Manis.

Innocement Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama di bawah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), akan menyediakan atau membantu dalam mendapatkan lokasi dan tanah untuk kilang itu.

Sementara itu, PMW Industries Sdn Bhd, yang mengeluarkan tiang dan cerucuk, akan bertanggungjawab untuk mereka bentuk, membina, melengkapkan dan mengendalikan kilang itu dengan cara yang paling cekap, berkesan dan produktif.