• 2025-06-28 01:09 PM

SEKINCHAN: Laporan hasil siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, akan dibentangkan kepada umum pada Isnin ini, menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan laporan tersebut telah siap disiapkan semalam mengikut jadual yang ditetapkan. Namun, pembentangan terpaksa ditunda kerana semalam merupakan cuti umum.

“Ia (laporan) sudah sedia semalam, tetapi kita tidak boleh bentang kerana semalam cuti umum. Jadi lebih baik ia dibuat pada Isnin ini,“ katanya.

Amirudin turut menyatakan bahawa laporan akan dibentangkan secara terbuka setelah mendapat kelulusan Kabinet.

“Kita akan buat secara umum, kita akan maklumkan nanti, selepas dah bentang kepada Kabinet, kemudian kita beri (bentang) pula secara umum ... kita ikut proses,“ jelasnya.

Beliau mengulas perkara itu ketika menghadiri majlis pelancaran Pembangunan Fasa Pertama Kompleks Pendaratan Hasil Laut Sekinchan hari ini.

Sebelum ini, Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan bahawa siasatan teknikal kejadian tersebut telah selesai pada 26 Jun, seperti dijadualkan.

Insiden kebakaran pada 1 April lalu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah lain tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.