KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia mampu memberi “ancaman” kepada mana-mana lawan biarpun diundi dalam Kumpulan B bersama ranking ke-18 dunia, iaitu Iran, pada Kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang bakal berlangsung bulan depan.
Hal ini kerana pemerhati bola sepak negara Datuk Richard Scully berpendapat bahawa satu transformasi besar telah berlaku dalam skuad kebangsaan dan inilah masa terbaik untuk menguji jentera berkenaan.
Beliau turut melihat pasukan lawan kini mula membuka mata serta mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kebangkitan Harimau Malaya sekali gus membuktikan bahawa skuad negara tidak lagi boleh dipandang ringan.
“Terlampau awal kita mahu buat ramalan kerana mereka semua dalam pertandingan sedang buka mata memandang Malaysia. (Pasukan lain) sudah mula membuat analisis terhadap skuad negara sebab Malaysia dahulu dengan Malaysia sekarang sudah berbeza.
“Maka, dalam persepsi begitu, semua pihak yang menghadapi kita mesti dalam keadaan berjaga-jaga. Saya juga rasa jaringan pun tidak akan besar (yang terhasil) daripada pihak sana mahupun pihak kita,” katanya kepada Bernama.
Justeru, beliau mahu anak buah Peter Cklamovski turun ke padang tanpa dibebani tekanan ranking kerana “angka hanyalah angka” dan segalanya boleh berubah pada hari perlawanan.
Malah, baginya kemenangan ialah bonus manakala kekalahan bukan satu keaiban kerana ia sekadar mencerminkan ruang yang masih perlu diperbaik sebelum menghadapi pentas lebih besar.
Selain Iran, skuad Harimau Malaya yang berada di tangga ke-131 dunia turut berdepan tuan rumah Tajikistan (ranking ke-104 dunia) dan Afghanistan (ke-160).
Mengikut jadual, Malaysia bakal membuka kempen menentang Tajikistan pada 29 Ogos, diikuti aksi bertemu Iran pada 1 Sept dan Afghanistan pada 4 Sept dengan ketiga-tiga perlawanan berlangsung di Dushanbe, Tajikistan.
Selepas kejohanan itu, Malaysia akan menyambung baki saingan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Okt dan di sini (14 Okt) sebelum bertemu Nepal di Kathmandu (18 Nov) dan berdepan Vietnam di tempat lawan pada Mac tahun depan.
Sementara itu, penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli pula berpendapat kekalahan dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan boleh menjejaskan kepercayaan peminat terhadap wajah baharu Harimau Malaya, khususnya mereka yang “menolak” konsep pemain warisan.
“Sekurang-kurangnya kita perlu ke separuh akhir barulah peminat boleh meneruskan perasaan bangga mereka kepada Harimau Malaya.
“Sebab kalau tewas teruk ataupun gagal, harapan akan menurun sedikit dan memberikan peluang kepada mereka yang tidak menyokong konsep warisan untuk melepaskan geram,” katanya.
Beliau juga berharap pemain warisan dapat diturunkan secara konsisten dalam setiap perlawanan kerana kehadiran mereka mampu memperkukuh barisan terbaik yang dimiliki Harimau Malaya ketika ini.