KUALA LUMPUR: Seramai 29,136 usahawan telah menerima pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bernilai RM458 juta setakat 31 Mei lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata jumlah itu adalah berdasarkan data yang direkod sejak skim pembiayaan berkenaan dilaksana pada 2008.

“Sejak skim ini dilaksana, TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional) telah menerima peruntukan sebanyak RM421.5 juta bagi melaksanakan program SPUMI dan bagi tahun 2024, seramai 666 individu menerima pembiayaan berjumlah RM18 juta.

“Bagi SPUMI Goes Big pula, seramai 51 pemohon telah menerima kelulusan pembiayaan berjumlah RM2.5 juta,” katanya dalam sidang media pada majlis penyampaian cek pembiayaan TEKUN SPUMI dan SPUMI Goes Big di Ibu Pejabat TEKUN Nasional di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Abd Ghani.

Ramanan berkata bagi program SPUMI Goes Big, sejumlah 81 permohonan telah diterima dengan nilai RM7.2 juta sejak ia mula dilaksanakan pada 3 April lepas.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 51 permohonan telah diluluskan manakala 27 lagi dalam proses kelulusan lembaga mesyuarat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penerima skim berkenaan supaya membayar semula pembiayaan tersebut dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan dana itu boleh dimanfaat oleh usahawan lain.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata pihaknya juga akan terus memberikan tumpuan terhadap inisiatif pemerkasaan ekonomi masyarakat India yang turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.