Tindakan tegas terhadap individu lontar komen jelik, bersifat jenayah dan ekstrem - Fahmi

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melontarkan komen jelik, bersifat jenayah dan ekstrem menerusi platform media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini, beliau turut mendedahkan terdapat penyebaran kenyataan tidak bermoral dan bersifat jenayah termasuk ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam sehari dua ini.. di Amerika Syarikat ada percubaan pembunuhan terhadap mantan presiden Donald Trump... saya kesal kerana tersebar dalam WhatsApp kenyataan yang sangat tidak bermoral dan bersifat jenayah

“Ada kata yang patut ditembak bukan hanya di sana, (mereka) beri bayangan threat of violence. Ugutan jenayah termasuk ugutan bunuh terhadap perdana menteri. Berbeza pandangan tidak apa, tetapi jangan terlalu ekstrem, ini keterlaluan,” katanya.

Sementara itu Fahmi berkata beliau akan bertemu ketua-ketua editor dalam masa terdekat susulan komen bersifat ekstrem ditulis dalam berita yang dimuat naik di platform media sosial masing-masing.

“Saya bawa beberapa pandangan tegas dan keras kerana saya junjung titah (Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim) dan Kabinet juga diarah ambil tindakan tegas untuk jaga ketenteraman awam termasuk di media sosial,” katanya.

Sebelum ini Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu yang berkaitan dengan kaum dan agama.

Selain itu Fahmi berkata kewujudan akaun palsu di pelbagai platform media sosial ketika ini amat membimbangkan, kerana ia akan memberi kesan kepada ketenteraman dalam masyarakat.

“...yang paling menakutkan, ada rakyat Malaysia beranggapan mereka boleh berkelakuan ikut suka hati dan berselindung di sebalik akaun palsu ini. Ia berbahaya dan bahana yang boleh merosakkan ketenteraman dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam TikTok Live Sinar Harian dan Astro Awani membawa kepada penemuan 18 akaun yang didapati memuat naik komen melanggar undang-undang, dan 12 daripadanya dikenal pasti bersifat ‘fake account’.

“Saya minta MCMC ambil tindakan tegas dan segera - berhubung dengan Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia untuk teliti perkara ini. Saya rasa telah tiba masanya masalah fake account diurus dengan lebih tertib,” katanya.

Fahmi turut meminta pengendali platform media sosial mengambil tanggungjawab lebih besar dalam membendung buli siber, iklan judi dalam talian dan komen jelik.

“Kita mahu platform media sosial ambil tanggungjawab lebih besar termasuk sekiranya kejadian itu libatkan buli siber menjurus ke arah kematian bunuh diri, kecederaan, kerosakan dan sebagainya. Platform ini tidak bolehleh cuci tangan. (Ini termasuk) masalah iklan judi dalam talian yang bertebaran dalam platform seperti Facebook,” katanya.

Beliau turut meminta ibu bapa untuk memastikan anak di bawah usia 13 tahun tidak membuka akaun media sosial sendiri kerana ada kandungan yang tidak sesuai ditonton oleh golongan itu.

“Tidak jadi masalah sekiranya anak tonton content media social daripada akaun kita (ibu bapa) tetapi pastikan content yang mereka tonton bersesuaian dengan umur mereka,” katanya.