KOTA BELUD: Sebanyak RM2.2 bilion diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah bagi melaksanakan pelbagai projek meliputi peringkat perancangan, perolehan dan pelaksanaan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata ia termasuk penyelenggaraan, pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), kemudahan asas di kem sempadan, pembinaan tiga pos baharu, dan keperluan projek lain yang melibatkan tentera darat serta laut.
“Peruntukan itu, antaranya untuk Kem Paradise, Kem Lahad Datu, Kem Felda Sahabat Lahad Datu, dan Kem Lok Kawi, termasuklah membina klinik kesihatan dan klinik pergigian,“ katanya kepada kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan bersama warga Kem Paradise di sini hari ini.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat Left Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi, dan Panglima Divisyen Kelima Infantri Mej Jen Datuk Noorrul Azril Ariffin.
Mengulas mengenai majlis itu, Mohamed Khaled berkata ia adalah untuk menyantuni warga pertahanan selain meringankan beban anggota tentera yang memerlukan, khususnya dalam mengurus kehidupan seharian.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 secara sekali bayar kepada 20 pesakit kronik yang terdiri daripada anggota tentera serta ahli keluarga mereka.