PARIS: Perdana Menteri Perancis yang baharu melepaskan jawatan, Sebastien Lecornu, menuduh parti-parti politik di parlimen yang berpecah-belah menyebabkan kebuntuan politik ketika beliau secara mengejut meletakkan jawatan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Parti-parti politik terus bertindak seolah-olah mereka mempunyai majoriti mutlak dalam Perhimpunan Kebangsaan,“ kata Lecornu dalam satu kenyataan dari pejabatnya.
“Saya sebenarnya bersedia untuk berkompromi, tetapi setiap parti mahu pihak lain menerima keseluruhan program politik mereka,“ kata Lecornu, yang baru menjawat jawatan itu kurang daripada empat minggu.
Memandangkan tiada majoriti jelas dalam parlimen, beliau berkata parti pembangkang sepatutnya memilih jalan perbincangan dan kompromi. “Untuk itu, sudah tentu anda perlu ubah sikap dan tidak berkeras mahu melaksanakan keseluruhan projek dan program anda,“ katanya.
Lecornu juga mengkritik perebutan jawatan dalam Kabinet yang menjadi punca utama kepada peletakan jawatannya.
Dalam Perhimpunan Kebangsaan, baik gabungan pakatan Presiden Emmanuel Macron mahupun pihak pembangkang dari sayap kanan dan kiri tidak mempunyai majoriti.
Kerajaan kini berdepan cabaran untuk meluluskan bajet berjimat cermat dalam keadaan hutang negara yang semakin meningkat.
Berikutan peletakan jawatan Lecornu, masih belum jelas sama ada pilihan raya baharu akan diadakan atau Presiden Macron akan melantik perdana menteri yang baharu- BERNAMA-dpa