KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga individu termasuk seorang lelaki yang mempunyai 23 rekod jenayah dan dadah selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar dua buah kenderaan di Taman Kajang Mewah dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata insiden yang tular di media sosial semalam, memaparkan anggota dari Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) sedang menahan suspek di lokasi kejadian selepas disyaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Beliau berkata kejadian itu berlaku pada 2.10 pagi membabitkan tangkapan tiga penganggur iaitu seorang lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 28 hingga 30 tahun.

“Kita turut menemukan satu gram syabu dan tiga individu terbabit direman empat hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau pegawai penyiasat kes Inspektor Ahmad Zahrein Muhd Suod di talian 017-3818422 bagi membantu siasatan.