KANGAR: Seorang lelaki yang baru sahaja keluar dari penjara pada Februari lepas ditahan polis bersama rampasan dadah jenis ganja seberat 2.85 kilogram (kg) bernilai RM9,300 di hadapan sebuah kedai wakil insurans di Jalan Padang Besar, Padang Besar dekat sini pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kedah lebih kurang 12.05 tengah hari semasa lelaki berkenaan sedang duduk di atas sebuah motosikal di hadapan kedai itu.

“Hasil pemeriksaan dijalankan ke atas suspek didapati satu bungkusan plastik bertangkai di tangan kirinya dan pemeriksaan lanjut di dalam beg plastik itu menjumpai satu bungkusan plastik lutsinar diikat dengan benang disyaki dadah jenis ganja seberat 950 gram dan dua bungkusan plastik lutsinar berbalut kertas disyaki juga dadah jenis ganja seberat 1,900 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata siasatan awal polis mendapati lelaki itu dipercayai mengambil upah daripada seorang lelaki warganegara jiran sebanyak RM500 bagi membawa masuk dadah itu.

“Dadah dirampas ini boleh digunakan oleh 2,850 orang pengguna dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah, manakala ujian saringan awal urin suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dia direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.