• 2025-09-05 01:05 PM

IPOH: Seorang lelaki berusia 27 tahun dikhuatiri lemas selepas tidak pulang ke rumah walaupun telah memaklumkan hasrat untuk mandi di Sungai Baru Labu, Bota Kiri dekat Seri Iskandar pada Rabu lepas.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah mengesahkan pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 5.46 pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Nurman Mohd Nor dilaporkan hilang sejak jam 2 petang Rabu selepas selesai memasukkan lembu ke dalam kandang.

“Mangsa telah memberitahu bapanya tentang hasrat untuk mandi sungai, namun hanya baju mangsa yang ditemui di lokasi kejadian,” jelas Shazlean dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar meliputi kawasan sejauh tiga kilometer dari Jeti Jabatan Pengairan dan Saliran Teluk Sena menuju ke lokasi mangsa dilaporkan hilang di Kampung Baru Lambor Kiri.

Operasi tersebut turut disertai oleh pihak polis dan persatuan nelayan tempatan bagi meningkatkan usaha mencari mangsa. – Bernama