GUA MUSANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Aring 2, di sini malam tadi.

Mangsa, Mohd Kaswadi Ahmad, 42, dilaporkan tidak timbul ke permukaan selepas terjun ke sungai berkenaan pada 9.21 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.34 pagi tadi.

“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dari BBP Gua Musang telah digerakkan ke lokasi kejadian. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada kira-kira 11 pagi dan masih diteruskan hingga kini.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada pihak polis, mangsa dipercayai melarikan diri sebelum terjun ke dalam Sungai Aring 2 dan gagal dikesan selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi SAR melibatkan empat anggota bomba dan enam anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata seorang lelaki tempatan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai berhampiran kawasan Felda Aring 2 di sini ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis semasa Op Tapis dijalankan, semalam.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 7 malam ketika sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menjalankan operasi di kawasan perumahan Felda berkenaan.

“Ketika operasi dijalankan, anggota polis terlihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan. Kedua-duanya bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Pasukan bertugas mengejar mereka, namun kedua-duanya hilang daripada pandangan. Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka disyaki terjun ke dalam sungai berhampiran untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata keadaan hujan lebat dan suasana gelap ketika itu menyebabkan pasukan operasi beredar dari lokasi demi keselamatan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta digesa tampil menyalurkan maklumat kepada IPD Gua Musang bagi membantu siasatan.