ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan ketika cuba melarikan diri selepas dipercayai menyamun sebuah kedai emas di Jalan Pandak Mayah 5, Kuah, Langkawi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata dalam kejadian pada 11.48 pagi itu, lelaki berusia 45 tahun itu telah masuk ke dalam premis berkenaan dengan memakai penutup muka.
“Semasa kejadian, pemilik kedai lelaki berusia 69 tahun bersama isterinya berusia 60 tahun berada di dalam premis itu.
“Suspek telah mencampakkan serbuk cili ke arah isteri pemilik kedai dan terus memecahkan cermin pameran emas dengan menggunakan sebilah parang yang dibawanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek kemudiannya melarikan diri dan dikejar oleh pemilik kedai emas berkenaan serta beberapa orang awam yang berada di sekitar kawasan itu.
Suspek berjaya ditahan kira-kira 300 meter dari kedai emas berkenaan oleh anggota polis yang sedang melakukan rondaan.
“Barangan kemas dilarikan suspek dianggar bernilai RM50,000. Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.