KOTA BHAR: Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes pemalsuan sepucuk surat permohonan yang menggunakan jata tubuh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, pada Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata suspek warga tempatan berusia 51 tahun itu ditahan di Kampung Tiong Dalam di sini, pada 2.23 petang selepas polis menerima laporan daripada pemilik kenderaan berhubung kes tipu tukar hak milik kenderaan tanpa pengetahuan pihak syarikat di Machang pada 18 April lepas.

“Suspek ini bersangkut report di Kota Bharu berkait kes pemalsuan sepucuk surat ‘Warkah Permohonan Menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Kelantan Darulnaim Yang Menggunakan Jata Tubuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V’ pada April lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen bagi tujuan menipu.

Muhamad Zaki berkata pengadu yang juga pemilik dan pengarah sebuah syarikat memaklumkan telah melantik suspek bagi menguruskan satu projek perniagaannya di kawasan Jeti Pasir Puteh pada 6 Mac 2022.

“Bagi tujuan itu, suspek diberikan sebuah kenderaan pelbagai guna milik syarikat namun gagal melaksanakan tanggungjawab bagi menguruskan projek dan ditamatkan perkhidmatan oleh pihak syarikat serta menuntutnya mengembalikan semula kenderaan yang diberikan,” katanya,

Muhamad Zaki berkata bagaimanapun suspek enggan mematuhi arahan syarikat dan menggunakan dokumen dipercayai palsu untuk membuat penukaran hak milik kenderaan tanpa pengetahuan.

Menurutnya, suspek direman empat hari sehingga Ahad untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.