• 2025-09-29 05:41 PM

IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul seekor anjing menggunakan batang besi sehingga mati di sebuah rumah di Taman Arkid.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penahanan itu susulan tular video berdurasi satu minit 31 saat di laman Instagram Malaysian Animal Organization.

Beliau berkata hasil semakan mendapati satu laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat pada 19 September di Balai Polis Menglembu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 berhubung tindakan suspek memukul anjing sehingga mati.

Suspek telah ditangkap dan kini telah dilepaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menularkan semula sebarang video atau kenyataan berkaitan kes kerana boleh menimbulkan kegusaran awam.

Sebarang maklumat mengenai salah laku atau penganiayaan terhadap haiwan boleh disalurkan kepada pihak polis atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut. – Bernama