KOTA TINGGI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar, di sini ditemukan lemas petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata mayat Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemukan pada 3.15 petang di kedudukan kira-kira 1,500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Beliau berkata mayat mangsa telah dikenal pasti oleh warisnya sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.

“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa iaitu Haqim Abdul Rahim Lee, 20, sedang diteruskan di lokasi kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati dua lelaki berasal dari Johor Bahru itu telah hilang semasa mandi-manda sekitar 9.15 pagi,“ katanya dalam kenyataan malam ini.

Hussin berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada orang awam pada 9.35 pagi dan pos kawalan kemudian dibuka bagi operasi SAR melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin Pengerang, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Pengerang.

“Pasukan penyelamat menggunakan kaedah pencarian di pesisiran pantai dan dibantu penggunaan dron,“ katanya sambil menambah orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat di laut diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi menerusi talian 07-8837 222 atau Pegawai Penyiasat kes menerusi talian 012-9751 290.