KALABAKAN: Sebuah lori tangki 10 tan membawa muatan bahan kimia jenis ammonium nitra terbabas lalu terbalik di Jalan Kalabakan-Nabawan di sini pada petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata kejadian itu menyebabkan berlaku tumpahan kimia di atas jalan dan terdapat dua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam.
“Keadaan mangsa tidak diketahui. Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada 3.05 petang dan tiba di lokasi sejauh 138 kilometer itu pada 5.35 petang.
“Pasukan bomba bertindak membersihkan tumpahan bahan kimia itu menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini
Jemishin berkata operasi pembersihan bahan kimia tersebut yang melibatkan lapan anggota bomba Tawau dengan bantuan lima anggota daripada pasukan bomba sukarela Kalabakan ditamatkan pada 7.10 malam.