KUANTAN: Seorang buruh binaan warga Indonesia yang dilaporkan hilang ketika memancing udang di Sungai Lengkor, Sri Makmur, ditemukan lemas pagi ini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Fahrol, 37 tahun, ditemui oleh penduduk kampung sekitar pukul 9.10 pagi, kira-kira 28 kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin, berkata kejadian berlaku pada pukul 1 pagi Ahad selepas bot yang dinaiki mangsa bersama tiga rakannya terlanggar sebatang kayu besar berhampiran Kampung Sungai Pinang.
“Kejadian itu menyebabkan mereka tercampak ke dalam sungai,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Rakan mangsa yang berjaya naik semula ke bot gagal menemukan Fahrol walaupun melakukan pencarian di sekitar sungai.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan dengan melibatkan 53 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, serta penduduk kampung.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pekan untuk proses pengesahan lanjut. – Bernama