Your Title

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki warga Indonesia maut dihempap pokok di kawasan pembalakan di Kampung Hulu Paka, Bandar Al Muktaffi Bilah Shah (AMBS), Dungun tengah hari semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS Noor Fadzly Md Nor berkata mangsa berusia 54 tahun yang cedera di kepala serta kaki, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menggerakkan sembilan anggota serta dua jentera ke lokasi untuk kerja menyelamat setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 2.34 petang.

“Setibanya di lokasi pada pukul 4.15 petang setelah berdepan kesukaran akibat faktor jalan dan cuaca hujan, anggota kami mendapati mangsa dihempap pokok balak yang mempunyai ukur lilit 2.5 meter.

“Setelah dikeluarkan, mayat pekerja balak itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.