KOTA TINGGI: Seorang lelaki tempatan maut manakala dua lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kilometer 28.5 Jalan Kulai-Kota Tinggi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam tadi melibatkan motosikal Yamaha Y16ZR, Suzuki Smash Revo dan Honda RS150.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata mangsa berusia 38 tahun dari arah Kulai melanggar bahagian belakang motosikal Suzuki Smash Revo.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum digilis motosikal Honda RS150 yang tidak sempat mengelak.
Mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Dua penunggang lain turut menerima rawatan di hospital yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 boleh dikenakan.
Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan patuhi undang-undang jalan raya. - Bernama