IPOH: Seorang lelaki maut selepas jengkaut dikendalikannya terbalik di lereng bukit di sebuah lombong bijih timah di Klian Intan, Pengkalan Hulu hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa, Lum Kok Hon, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada 11.53 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu tiba di lokasi kira-kira 13 minit kemudian.

“Kemalangan didapati melibatkan sebuah jengkaut terbalik dan mangsa (Lum) telah tersepit serta meninggal dunia semasa kerja-kerja menyelamat dilakukan,“ katanya dalam kenyataan.

Sabarodzi berkata usaha mengeluarkan mangsa dilakukan dengan menggunakan peralatan hidraulik dan gergaji bulat manakala operasi tamat sepenuhnya pada 3.15 petang.