PAPAR: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menjolok buah mangga menggunakan sebatang besi di Kampung Bambangan di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada pukul 3.01 petang sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
“Siasatan awal mendapati mangsa telah memanjat pokok mangga dan menggunakan sebatang besi untuk menjolok buah. Malangnya, besi tersebut terkena pada kabel elektrik berhampiran menyebabkan mangsa terkena renjatan dan tidak sedarkan diri di atas pokok,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Beliau berkata operasi menyelamat dijalankan selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan anggota bomba menggunakan tangga serta tali penyelamat untuk menurunkan mangsa.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan lapan anggota dari BBP Papar itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.29 petang.