• 2025-07-04 01:40 PM

GEORGE TOWN: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita warga Australia, minggu lepas.

S.Prasanth, 25, yang merupakan pekerja sambilan sebuah hotel, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Juraidah Abbas, namun memohon masa bagi melantik peguam untuk mewakilinya.

Tertuduh didakwa merogol mangsa dalam sebuah kereta Perodua Axia dan meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan mengacukan sebilah gunting besi kepadanya di sebuah kawasan perkuburan di Estate Mount Erskine di sini, antara 5.20 pagi dan 6 pagi, 28 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun hingga 30 tahun dan sebatan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii pada masa serta lokasi sama dan didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang Mohd Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Nordin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan ia kesalahan serius iaitu merogol dan meletakkan mangsa dalam ketakutan kematian yang disifatkan bukan sebagai kes rogol biasa, selain sensitiviti hubungan baik dua hala Malaysia dan Australia juga perlu diambil kira memandangkan mangsa seorang pelancong dan penuntut Australia yang datang ke negara ini.

“Kita tidak mahu perkara ini memberikan gambaran tidak baik kepada pelancong luar yang datang ke Malaysia. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan kesalahan sebegini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya mahkamah membenarkan jaminan maka ditawarkan RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh pula merayu agar ditawarkan jaminan atas alasan terpaksa menanggung ibu bapa yang berusia 65 tahun dan hanya bekerja sebagai pekerja sambilan di hotel.

Mahkamah kemudian membuat keputusan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Julai ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

-- BERNAMA