GUA MUSANG: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok dokong di Kampung Bertam, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata Mohamad Mat Noor, 51, ditemukan berada di celah dahan pokok pada ketinggian kira-kira tiga meter di dusun kepunyaan keluarganya.

Beliau berkata pada 9 pagi tadi, polis menerima laporan daripada seorang lelaki, Abd Rani, 59, menyatakan adiknya telah keluar untuk memetik buah dokong pada 3 petang semalam namun hingga 8 malam, dia tidak pulang ke rumah.

“Pada 8.30 pagi tadi, ahli keluarganya telah menjumpai Mohamad tersangkut di celah dahan pokok dan kemudian menghubungi bomba,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Sik berkata pegawai perubatan mengesahkan kematian Mohamad kerana serangan jantung.

“Berdasarkan siasatan, kematian lelaki itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut manakala jenazahnya telah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerek,” katanya.