• 2025-09-16 08:07 PM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang di Sungai Cherandong, Kuala Kubu Bharu telah ditemukan lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Norizan Deris, berusia 47 tahun, ditemukan pada pukul 10.53 pagi dalam keadaan tersangkut pada sebatang pokok di dalam air.

Lokasi penemuan mayat terletak berhampiran tapak perkhemahan Rimba Bayu, kira-kira 300 meter dari lokasi asal mangsa dipercayai terjatuh.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 2.36 pagi semalam.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kejadian dalam masa 14 minit selepas menerima panggilan kecemasan.

Operasi SAR melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air dari Balai Bomba Shah Alam, Pelabuhan Klang dan KLIA.

Pencarian dijalankan di sepanjang persisiran sungai dengan radius enam kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Operasi pada hari pertama terpaksa ditangguhkan pada pukul 7 malam semalam akibat faktor cuaca dan penglihatan terhad.

Pencarian disambung semula pada pagi ini sebelum mayat berjaya ditemui.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan proses pengurusan jenazah. – Bernama