KUALA PILAH: Seorang lelaki warga Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menikam teman wanitanya warga Indonesia sehingga parah di Bahau, Jempol bulan lepas.

Fozi Alam Mohammad Alam, 43, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Saiful Sayoti, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang wanita menggunakan sebilah pisau dengan menikamnya sehingga boleh menyebabkan kematian di sebuah rumah di Taman Acbe, Bahau kira-kira 3.30 pagi, 26 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa ASP Rosli Muhamad kemudian memohon mahkamah supaya menetapkan satu tarikh lain supaya pertuduhan dapat dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen dan meminta agar tiada sebarang jaminan ditawarkan berikutan tertuduh merupakan warganegara asing.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Nov ini sebagai sebutan semula kes dan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Dalam kejadian pada 26 Sept lepas, media melaporkan seorang wanita, 40, cedera parah setelah ditikam oleh teman lelakinya warga Rohingya di bahagian muka, perut dan bahu.