KULIM: Seorang lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun ditemukan maut di sebuah dusun durian di Jalan Kulim-Junjung dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi berkata lelaki terbabit yang bekerja di dusun durian itu dikatakan tinggal bersama dua lagi rakan senegara di sebuah pondok di dusun berkenaan.

“Mangsa ditemukan terbaring di lereng bukit bersebelahan pondok itu dengan tiga kesan tikaman objek tajam pada bahagian belakang badannya.

“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada malam 14 Julai lepas dan mangsa disyaki diserang dua rakan senegara yang kemudian menghilangkan diri,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dua suspek itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menyalurkan kepada pegawai penyiasat ASP Mohd Fakruzi Ismail di talian 019-7204939,“ katanya.