BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai dibunuh rakan senegara dalam kejadian di bilik asrama pekerja sebuah kilang barangan terpakai, di kawasan Industri Ringan Asas Jaya, Bukit Minyak di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata polis menerima maklumat daripada orang awam, memaklumkan terdapat seorang lelaki warga asing tidak sedarkan diri dan dalam keadaan terbaring berlumuran darah, di bilik asrama itu pada 9.20 pagi.

“Pihak polis terus ke lokasi kejadian dan siasatan awal kami mendapati mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu, merupakan pekerja di kilang tersebut serta tempat kejadian merupakan asrama pekerja yang terletak dalam kawasan kilang berkenaan.

“Mangsa tinggal di asrama itu bersama rakan-rakannya yang lain dan setakat ini polis telah menahan 11 warga asing yang tinggal di situ (asrama), bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata permohonan tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok bagi meneruskan siasatan ke atas semua 11 individu tersebut.

Helmi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengetahui punca sebenar kejadian dan insiden tersebut berlaku, namun polis tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan antara mereka awal pagi tadi.

Beliau berkata polis juga masih mengesan rakan mangsa yang lain, termasuk suspek utama yang dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian tersebut, namun percaya kesemuanya masih berada di sekitar negeri ini.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

Difahamkan mangsa ditikam di bahagian kepala, dipercayai menggunakan pisau selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.