• 2025-10-22 10:35 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia akan melaksanakan lencongan dan penyuraian trafik secara berperingkat bermula 8 pagi sehingga 7.45 malam esok sempena raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata raptai yang akan diteruskan sehingga Jumaat ini adalah langkah penting bagi memastikan pergerakan delegasi sebenar berjalan lancar.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada menggunakan laluan terlibat semasa raptai berlangsung.

Orang ramai juga diminta mengikut panduan petugas trafik dan papan tanda sementara yang disediakan.

Menggunakan pengangkutan awam adalah alternatif terbaik untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

Penutupan jalan hanya akan dilakukan selama dua kali iaitu selama 45 minit pada 8 hingga 8.45 pagi dan 7 hingga 7.45 malam.

Tempoh penutupan ini bagi memastikan semua laluan, penugasan serta pengiringan delegasi antarabangsa dapat dilakukan dengan sempurna.

Sebanyak 1,111 pegawai dan anggota trafik telah ditugaskan untuk kawalan lalu lintas semasa sidang kemuncak.

Mereka juga bertanggungjawab untuk pengiringan delegasi kenamaan serta penguatkuasaan undang-undang.

Jumlah ini dianggap mencukupi untuk memastikan kelancaran lalu lintas semasa sidang kemuncak berlangsung. – Bernama