MELAKA: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan merebut pelbagai peluang ditawarkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Institusi Pendidikan MARA (IPMA) untuk melanjutkan pelajaran terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ahli Majlis MARA Datuk Seri Hasan Malek berkata ini memandangkan sektor pendidikan MARA setakat ini mempunyai 287 pusat IPMA yang menyediakan bidang pengajian TVET dan profesional malah mencatat kebolehpasaran graduan sehingga 94.34 peratus dengan melahirkan 28,808 graduan pada tahun 2023.

“Ini kerana sektor pendidikan MARA mempunyai ekosistem menyeluruh yang mana sebaik sahaja pelajar menamatkan SPM, mereka boleh menyertai IPMA bermula dari peringkat sijil, Asasi, diploma, ijazah hinggalah ke peringkat tertinggi sama ada di dalam atau luar negara.

“Malahan kemudahan pinjaman pelajaran boleh ubah yang disediakan mampu memastikan pelajar ini menamatkan pelajaran dengan jayanya. Maknanya peluang itu ada dalam pelbagai bidang termasuk automotif, solar serta kejuruteraan dan seharusnya peluang-peluang ini direbut ,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kerjaya MARA peringat Zon Selatan di Mini Stadium Bistari Ayer Keroh di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah MARA Melaka Nurul Azmi Johari.

Menurut Hasan, peluang pendidikan di bawah institusi MARA menerusi TVET sangat penting dalam merancakkan pertumbuhan industri negara dengan cara melahirkan lebih ramai guna tenaga yang berdaya saing dan berkompetensi tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran karnival IPMA di seluruh negara juga dijadikan platform buat lepasan institusi pengajian tinggi untuk mencari peluang pekerjaan.

“Seperti di Melaka, turut berlangsung Karnival Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan dengan kolaborasi rakan-rakan industri, sekali gus sebagai satu jaminan pekerjaan oleh TVET MARA,“ katanya.