KUALA LUMPUR: Sebuah bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipercayai hilang kawalan semasa melaksanakan raptai demonstrasi keupayaan sempena perasmian Segmen Maritim Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), hari ini.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan parah yang dialami oleh kru bot tersebut akibat insiden ini.

“Namun, kru dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, di media sosial, tular beberapa video memaparkan bot tertera bendera TLDM dilihat hilang kawalan sebelum merempuh bot pelancong dan terbabas ke bahagian daratan.

Difahamkan terdapat juga orang awam yang berada berhampiran lokasi latihan itu dan turut merakam insiden terbabit.