SHAH ALAM: Lima kenderaan musnah terbakar di hadapan sebuah rumah di Taman Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, pagi tadi.
Kejadian itu dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada jam 6.44 pagi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pasukan bomba tiba di lokasi dan mendapati lima kereta pelbagai jenis telah terbakar hampir 90 peratus.
Kebakaran turut menjejaskan bahagian hadapan dua buah rumah teres dengan anggaran kerosakan antara lima hingga 10 peratus.
Operasi memadam kebakaran melibatkan enam anggota bomba dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.