KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam pergaduhan selepas perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Ridzuan Khalid berkata kelima-lima lelaki berusia antara 19 hingga 27 tahun itu ditahan di kawasan tempat letak kereta B, Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada 11.50 malam

“Mereka direman selama sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Kes akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ridzuan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut agar menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi satu minit di aplikasi TikTok memaparkan insiden pergaduhan dan cuba dileraikan oleh anggota polis yang dipercayai berlaku di luar stadium berkenaan.