Your Title

NIBONG TEBAL: Lima rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah bulan lepas.

Tertuduh G. Sandresan, 30, M. Premanathan, 25, M. Moganrajah, 29, M. Kogilan, 30, dan Mohammad Ghani Shaik Ali, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.

Mengikut pertuduhan, mereka berlima melakukan pecah rumah di sebuah kediaman untuk mencuri dua komputer riba jenama Asus dan Lenovo, serta sebuah tablet jenama Honor milik seorang lelaki berumur 31 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lorong Panchor Indah 5, Taman Panchor Indah di sini pada 9.27 malam, 21 Dis 2024.

Kes dikemukakan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda dan jika mencuri, boleh dipenjara maksimun 14 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafifah Mohd Shokri manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta menetapkan 24 Jan ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, di kamar mahkamah yang sama, Premanathan yang merupakan seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah mencuri sebatang tiang lampu tembaga bernilai RM2,500 milik Kuil Persatuan Penganut Dewi Arulmigu Annai Maha Mariamman di Jalan Sungai Daun, Kalidonia, di sini pada 1.39 tengah hari, 28 Nov 2024.

Kes dikemukakan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.