KULAI: Penduduk Kampung Melayu Bukit Batu kini berasa lega selepas kerja-kerja pembinaan longkang konkrit sepanjang 190 meter siap sepenuhnya. Projek bernilai RM200,000 ini diharap dapat mengurangkan risiko banjir yang kerap melanda kawasan tersebut sejak 10 tahun lepas.
Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, pembinaan longkang ini bermula pada Jun lepas bagi memastikan air dapat dialirkan dengan lebih cepat. “Kawasan ini terletak di kawasan rendah dan telah dilanda banjir empat kali tahun ini sahaja,“ katanya semasa meninjau projek berkenaan.
Penduduk kampung, Juliana Boonadir, 43, mengucapkan syukur atas siapnya projek tersebut. “Banjir sebelum ini merosakkan banyak barang. Walaupun ada bantuan, kerosakan tetap besar. Harap banjir tidak berulang lagi,“ kata beliau yang bekerja sebagai pengurus klinik.
Pesara Razman Hamzah, 64, turut menyatakan kepuasannya dengan inisiatif kerajaan. “Syukur Alhamdulillah, longkang ini sangat diperlukan. Biasanya perabot seperti kerusi dan katil rosak teruk apabila banjir,“ ujarnya. - Bernama