SEREMBAN: Penyerang muda Luqman Hakim Shamsuddin bertekad menggunakan pengalamannya bermain di luar negara sebagai pemangkin untuk membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) mencapai kejayaan dalam Liga Malaysia musim ini. Bekas pemain KV Kortrijk Belgium itu percaya tempoh lima tahun di Eropah telah melatihnya menjadi pemain lebih matang dan kompetitif.
“Pengalaman di luar negara mengajar saya tentang disiplin, ketahanan mental, dan intensiti permainan di peringkat tinggi. Saya mahu manfaatkan semua itu untuk membantu NSFC,“ katanya selepas majlis pelancaran Warrix Concept Store oleh Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Luqman, 23, menyifatkan Negeri Sembilan sebagai tempat terbaik untuknya bermain di Malaysia. Keyakinan diberikan oleh pihak pengurusan dan bimbingan ketua jurulatih Mohd Nidzam Jamil menjadi faktor utama keputusannya menyertai pasukan itu.
“Sasaran saya ialah membantu NSFC kembali ke zaman kegemilangan. Saya harap penyokong bersabar kerana pasukan masih dalam proses membina keserasian,“ ujarnya.
Pemain kelahiran Kelantan itu menekankan kepentingan persefahaman dalam pasukan untuk mencapai matlamat. Selain itu, dia mahu memastikan intensiti permainannya konsisten di padang.
“Pengalaman di Belgium berbeza, tapi ia bekalan berharga untuk saya bawa ke sini,“ tambahnya.
Luqman merupakan pemain pertama Malaysia yang menandatangani kontrak dengan kelab Eropah utama, KV Kortrijk, selama lima musim bermula 2020. Dia pernah dipinjamkan ke kelab Iceland dan Jepun sebelum kembali ke Malaysia.
Dalam majlis sama, Tunku Syed Razman melancarkan Warrix Concept Store dan kad keahlian ‘Hobin’ NSFC bagi memperkukuh ekosistem bola sepak profesional negeri. Kedai itu menawarkan jersi rasmi dan kelengkapan sukan, manakala kad keahlian memberikan manfaat seperti diskaun eksklusif dan akses ke aktiviti pemain.