• 2025-06-26 10:26 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam menjadikan sambutan Maal Hijrah 1447H sebagai titik tolak kehidupan yang lebih diberkati dan penuh makna.

Beliau berkata, tahun baharu hijrah ini harus menjadi landasan membina ummah MADANI yang sejahtera, inklusif, serta berpegang teguh pada nilai-nilai Islam.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar menekankan bahawa hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi satu proses pembaharuan diri dan masyarakat.

“Hijrah bukan sekadar perpindahan tetapi satu proses pembaharuan. Ayuh kita terus melangkah ke hadapan dengan ilmu, integriti dan semangat kebersamaan,” katanya.

Beliau turut mengajak umat Islam merenungi ayat 218 dalam surah al-Baqarah sebagai panduan dalam menghadapi cabaran semasa.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) esok, dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Tema sambutan tahun ini, ‘Membangun Ummah MADANI’, menekankan pembinaan masyarakat yang berdaya tahan dan berakhlak mulia.