• 2025-08-26 03:37 PM

PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diarahkan untuk sentiasa memantau dan melaksanakan penyenggaraan terhadap perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 supaya tidak berlaku gangguan teknikal yang boleh menjejaskan pergerakan penumpang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sejak memulakan operasi pada 1 Julai lepas, hampir dua juta penumpang telah menggunakan Aerotrain sekali gus membuktikan ia perkhidmatan penting di pintu masuk negara.

“Pergerakan penumpang antara terminal utama dengan terminal satelit begitu padat setiap hari, beribu orang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.

“Sudah tentu apa sahaja gangguan teknikal akan memberikan kesan kepada penumpang dan sebagai satu perkhidmatan kritikal di KLIA, yang perlu kita pastikan bahawa keandalan (Aerotrain) cukup tinggi supaya dapat memastikan pergerakan (penumpang) itu tidak terjejas,” katanya.

Loke menegaskan meskipun wujud beberapa insiden teknikal melibatkan Aerotrain, perkhidmatan itu dilihat berfungsi dengan baik.

“Sistem rel kadang-kadang akan menghadapi gangguan teknikal, ia melibatkan pelbagai komponen seperti mekanikal, teknikal, kadang-kadang perisian dan sebagainya.

“Walaubagaimanapun, kita meminta MAHB memantau setiap hari dan memastikan penyenggaraan dibuat dengan baik,” katanya sambil menambah terdapat pasukan ditugaskan bagi memastikan operasi Aerotrain berada dalam keadaan baik terutama pada waktu puncak.

Beliau menekankan MAHB juga perlu memastikan kontraktor dalam projek Aerotrain bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu tertentu kerana ia masih dalam tempoh liabiliti mereka.

Perkhidmatan Aerotrain turut dihentikan sementara pada 4 Julai lepas susulan takungan air dalam terowong disebabkan hujan lebat.

Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya selepas melalui kerja naik taraf bernilai 456 juta ringgit, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi MAHB berjumlah 742 juta ringgit yang bertujuan memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan ulung serantau pada masa hadapan. – Bernama