• 2025-08-18 05:01 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penyanyi rap, Caprice mengarkibkan 31 hantaran didakwa berunsur fitnah terhadap usahawan Muhammad Asyraf Khalid yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Muhammad Asyraf berkata Hakim Datuk Anand Ponnudurai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim secara ex-parte (sebelah pihak) dalam saman difailkan anak tiri kepada Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39.

“Segala penerbitan yang dikeluarkan oleh defendan (Caprice) berkaitan atau merujuk kepada plaintif (Muhammad Asyraf) hendaklah diarkibkan bermula hari ini sehingga pelupusan permohonan injunksi secara inter-parte (dua pihak) yang akan didengar 2 Sept ini,“ kata peguam itu kepada media selepas prosiding pendengaran injunksi ex-parte yang berlangsung dalam kamar.

Dalam pada itu, Abdul Hakeem berkata setakat ini defendan masih belum memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab tuntutan saman itu.

Muhammad Asyraf, 33, memfailkan saman pada 4 Ogos lepas dengan mendakwa Caprice telah menerbitkan 31 hantaran yang didakwa berbaur fitnah terhadap plaintif di Instagram miliknya sekitar 30 Julai hingga 2 Ogos lepas.

Plaintif mendakwa hantaran berbaur fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif seorang yang memalukan kerana telah menjemput Murad Zaidi yang merupakan jurulatih peribadinya dalam audio siar, semata-mata untuk memberi ruang kepada lelaki itu membela diri menerusi media sosial sekali gus tidak menghiraukan kecederaan yang dialami mangsa atas perbuatan lelaki terbabit.

“Saya menjemput Murad adalah untuk beliau berkongsi mengenai pengalamannya mengusahakan gimnasium dan cabaran yang dihadapi serta memberi penjelasan mengenai kenyataan Murad menerusi Instagram yang menafikan kesemua tuduhan terhadap beliau serta keluarga,“ kata Muhammad Asyraf dalam tuntutan saman itu.

Muhammad Asyraf berkata hantaran itu juga membawa maksud plaintif merupakan anak kepada Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa atau Datuk K yang merupakan suami kepada Siti Nurhaliza dan atas kapasiti tersebut plaintif telah menyalahgunakan wang, kuasa, pengaruh serta hubungan kekeluargaan kononnya untuk memerangkap defendan.

Menurutnya, walaupun beliau telah membuat keputusan untuk tidak menyiarkan episod penuh Murad Zaidi seperti yang Caprice mahukan, namun Caprice masih berterusan menyerangnya.

Tindakan melulu dan tidak bertanggungjawab Caprice, katanya menyebabkan plaintif dihina serta dibenci oleh orang ramai selain mengheret bapa Muhammad Asyraf dalam pertikaian itu dan memberi gambaran tidak benar serta memalukan.

Sehubungan itu, beliau memohon injuksi untuk menghalang Caprice, pekerja, wakil atau ejennya menerbitkan, mengedar, menyebar atau mengulangi hantaran-hantaran fitnah sama ada secara lisan atau bertulis terhadapnya melalui mana-mana platform media sosial serta memadam hantaran tersebut di mana-mana platform media sosial dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

Plaintif juga memohon defendan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi video dan diterbitkan dalam semua akaun media sosial milik defendan selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah- BERNAMA