PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 6 November ini untuk mendengar permohonan 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mendapatkan kebenaran merayu.
Keputusan ini berkaitan dengan isu pelarasan pencen yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili kumpulan pesara, memaklumkan tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Husna Dzulkifly.
Proses pengurusan kes bermula pada 4 Ogos lepas dan berakhir hari ini melalui e-Review.
Pendengaran akan dijalankan secara maya menggunakan aplikasi Zoom.
Pengurusan kes akhir pula dijadualkan pada 25 Oktober untuk memaklumkan status kertas kausa dan pemfailan hujahan bertulis.
Pada 4 Jun lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada pesara ATM.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan pesara yang bersara sebelum 1 Januari 2013 berhak mendapat pelarasan pencen sama seperti pesara selepas tarikh tersebut.
Namun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan dan responden lain untuk menolak keputusan itu.
Mahkamah Rayuan berpendapat pesara gagal membuktikan responden melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 3 Julai lepas, kumpulan pesara memfailkan permohonan kebenaran merayu dengan membangkitkan dua persoalan undang-undang.
Seramai 50 anggota ATM pelbagai pangkat memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 17 November 2022.
Mereka mendakwa kerajaan melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana tidak melaksanakan pelarasan pencen baharu bagi pesara sebelum 1 Januari 2013.
Jurang ketara wujud antara jumlah pencen pesara sebelum dan selepas tarikh tersebut. - Bernama