PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung rayuan Peguam Negara mengenai dokumen tambahan yang didakwa membolehkannya menjalani hukuman penjara di rumah.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan bahawa tujuh persoalan undang-undang yang dibangkitkan Peguam Negara layak untuk dipertimbangkan.
Dua hakim lain dalam panel ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Hakim Hasnah menyatakan bahawa tiga soalan pertama berkaitan pengemukaan keterangan baharu merupakan isu undang-undang yang memerlukan penelitian mendalam.
Manakala soalan keempat hingga keenam menyentuh peranan Peguam Negara dalam prosiding semakan kehakiman.
“Kami berpendapat bahawa kesemua soalan ini bukan bersifat akademik semata-mata,“ jelas Hakim Hasnah.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, hadir mewakili kliennya.
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pula mewakili pihak kerajaan.
Kes ini bermula apabila Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu memutuskan untuk mengembalikan kes berkaitan dokumen tambahan tersebut ke Mahkamah Tinggi bagi penilaian semula.
Najib kini menjalani hukuman enam tahun penjara di Kajang selepas disabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.
Hukuman asalnya 12 tahun dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan pada Februari tahun lepas.