CHUKAI: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Semenanjung melaksanakan Sistem Pasport Keselamatan dikeluarkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Yang Dipertua MPK Fadli Yusof Zakaria berkata insiatif itu bukan sahaja bagi melindungi kebajikan kakitangannya, malah pekerja yang berkhidmat untuk kontraktor atau vendor MPK.

“MPK Safety Passport (MPKSP) dikeluarkan setelah para pekerja menjalani kursus induksi keselamatan dan kesihatan pekerja (KKP). Dengan adanya pasport ini kebajikan pekerja akan lebih terjamin sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Antara manfaat yang bakal diperoleh oleh pemegang pasport ialah pampasan sebanyak RM15,000 jika berlaku kematian atau hilang upaya akibat kemalangan,“ katanya pada Majlis Pelancaran Program Baharu MPKSP, di sini hari ini.

Sementara itu Setiausaha Eksekutif NIOSH Mejar (B) Hanif Madin berkata pihaknya berharap supaya lebih banyak PBT di Malaysia akan mengikuti inisiatif MPK itu bagi melindungi pekerja masing-masing.

Beliau berkata walaupun penggunaan pasport keselamatan tidak diwajibkan, namun langkah itu digalakkan bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan seperti yang digariskan dalam Pelan Induk KKP 2021-2025.

“Di sesetengah industri berisiko seperti minyak dan gas, telekomunikasi dan pengendali lebuh raya, Sistem Pasport Keselamatan adalah diwajibkan bagi menjamin keselamatan pekerja,“ katanya sambil menambah setiap tahun lebih 100,000 peserta dilatih di bawah Program Pasport Keselamatan NIOSH di seluruh negara.

Program itu diperkenalkan kerajaan pada 2000 sebagai usaha meningkatkan tahap kesedaran pekerja terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.