Your Title

JEDDAH: Malaysia menentang keras cadangan untuk mengilhakkan Gaza, menyifatkannya sebagai bentuk “pembersihan etnik” dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam kenyataan negara Malaysia pada Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Jumaat, Mohamad berkata cadangan untuk “mengambil alih” Gaza melanggar Perkara 17 Protokol Tambahan II Konvensyen Geneva, yang melarang pemindahan penduduk secara paksa di wilayah yang diduduki.

“Malaysia berpegang teguh dalam menentang cadangan ini kerana ia merosakkan usaha keadilan antarabangsa untuk rakyat Palestin dan membahayakan kestabilan serantau.

“Walaupun gencatan senjata membolehkan rakyat Palestin pulang dan menerima bantuan yang amat diperlukan, namun pelaksanaan fasa kedua masih tergantung kerana rundingan menemui jalan buntu, manakala Israel terus mengambil kesempatan daripada situasi ini.

“Bekalan penting telah dipotong, memburukkan lagi penderitaan rakyat Palestin, terutama dalam bulan Ramadan yang mulia,“ katanya.

Mohamad menggesa OIC, sebagai suara ummah dalam masyarakat antarabangsa, supaya mengecam jenayah Israel dan mendesak rejim itu membenarkan bantuan kemanusiaan segera masuk ke Gaza tanpa berlengah.

“Tanggungjawab OIC dan masyarakat antarabangsa adalah memastikan Israel mematuhi kewajipan gencatan senjata, mempermudah bekalan bantuan kemanusiaan yang berterusan, melaksanakan fasa-fasa seterusnya dalam perjanjian gencatan senjata, menghentikan operasi ketenteraan, serta komited terhadap usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza,” katanya.

Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menjamin kedaulatan dan kemerdekaannya.

Mohamad berkata pengiktirafan Palestin bukan sahaja langkah penting ke arah keamanan berkekalan, malah ia juga penting dalam menangani krisis kemanusiaan, membangunkan pentadbiran yang berfungsi serta memperoleh sokongan antarabangsa untuk usaha pemulihan dan pembinaan semula Gaza.

“Saya menyeru OIC dan negara anggotanya agar memberi keutamaan kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap Negara Palestin sebagai matlamat utama,” katanya.

Bagi mencapai matlamat ini, Mohamad berkata negara anggota OIC perlu memperhebat usaha lobi strategik dan terlibat secara aktif dalam inisiatif diplomatik yang sedang berlangsung, seperti Perikatan Global bagi Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara, bagi mempercepatkan laluan Palestin untuk menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain memperjuangkan penyelesaian politik, Malaysia kekal komited untuk menyokong Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dalam menyediakan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin, di samping menyokong prosiding undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya.

“Sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, Malaysia akan terus memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam perjuangan berterusan mereka untuk mencapai keamanan, keadilan dan kebebasan, sambil menggembleng sokongan antarabangsa menerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali dan Komanwel,“ katanya.

Menteri Luar itu turut menegaskan sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sementara itu, Mohamad menyambut baik kemasukan semula Syria dalam OIC dan berharap ia membawa perubahan positif menerusi dialog yang diperbaharui dengan negara berkenaan.