KEPALA BATAS: Malaysia, yang memiliki lebih 15,000 spesies tumbuhan ubatan, mempunyai potensi besar untuk menerajui penyelidikan ubat botani, menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata Malaysia dapat mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran herba antarabangsa sambil menggunakan biodiversiti secara bertanggungjawab, dengan menggabungkan pengetahuan tradisional dengan kajian saintifik.

“Secara global, rawatan botani menyokong keperluan penjagaan kesihatan utama kira-kira 60 peratus penduduk, seperti yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Minat terhadap perubatan herba juga meningkat selepas pandemik, dengan kajian menunjukkan peningkatan 32 peratus dalam penggunaan produk semula jadi berikutan permintaan untuk penyelesaian penjagaan kesihatan yang lebih selamat dan mampan,“ katanya dalam ucapan perasmian pada Simposium Bioteknologi Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif utama di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0, Program Utama 3, menumpukan kepada pembangunan ubat botani halal dan bahan semula jadi bernilai tinggi untuk industri penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, bagi meningkatkan bioteknologi penjagaan kesihatan dan mempromosikan sektor kesejahteraan.

Aminuddin berkata adalah penting untuk meneruskan kerjasama antara akademia, industri, kerajaan dan pihak berkepentingan yang lain.

“Dengan bekerjasama, kita dapat memacu inovasi yang diperlukan untuk memajukan ubat botani, memastikan biodiversiti di negara ini yang kaya, dimanfaatkan secara bertanggungjawab dan lestari untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan global.

“Saya percaya perbincangan dan pengetahuan yang dikongsikan semasa simposium ini akan memberikan pandangan berharga terhadap kemajuan terkini dalam pembangunan ubat botani dan memberi inspirasi kepada idea baharu untuk penyelidikan dan kerjasama masa hadapan,“ katanya.

Simposium sehari itu dianjurkan oleh National Institutes of Biotechnology Malaysia (NIBM), agensi di bawah MOSTI dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Bioeconomy Corporation, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Lembaga Lada Malaysia dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA.

Simposium itu menjadi platform untuk menggalakkan dialog, meneroka peluang dan menjalin kerjasama bermakna untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri perubatan botani dan herba.