KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencatatkan potensi pelaburan bernilai RM4.68 bilion dari Jepun di Expo 2025 Osaka.
Ini sekali gus menunjukkan daya tarikan Malaysia semakin menyerlah sebagai hab strategik untuk perniagaan mampan dan dipacu inovasi di Asia Tenggara.
Dalam kenyataan pada Selasa, MIDA menjelaskan pencapaian itu amat menyumbang kepada jumlah potensi pelaburan bernilai RM7.39 bilion yang dicatatkan menerusi penyertaan Malaysia di ekspo itu setakat ini, dan mewakili 56.9 peratus daripada sasaran negara.
Perkara itu diumumkan pada majlis perasmian Pavilion Malaysia, yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dan dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, yang melaksanakan peranan penting berasaskan visi pelaburan dan keutamaan ekonomi negara.
Ekspo itu adalah forum ekonomi dan kebudayaan terulung dunia, dan penyertaan Malaysia -- diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) -- mencerminkan pendekatan seluruh kerajaan.
Peranan MIDA adalah penting dalam merealisasikan usaha nasional itu kepada hasil ekonomi yang kukuh.
Liew berkata Expo 2025 Osaka adalah platform untuk Malaysia membuktikan nilainya sebagai rakan sedia masa depan, dipacu inovasi dan mengutamakan kemampanan.
“Pelaburan yang diperoleh melalui MITI dan MIDA mencerminkan keyakinan pelabur terhadap industri hijau, pembuatan termaju dan ekonomi digital kita,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pencapaian itu mencerminkan kelebihan saranan pelaburan Malaysia dan kepercayaan strategik yang diberikan rakan Jepun kepada MIDA.
“Memandangkan kita memperkukuh hubungan dua hala, MIDA akan terus melakukan peranan proaktif dalam memudah cara pelaburan berkualiti tinggi yang sejajar dengan keutamaan negara dalam tenaga bersih, inovasi dan pembangunan mampan.
“Expo 2025 Osaka adalah lebih daripada sekadar pameran -- acara itu adalah arena ujian bagi aspirasi pelaburan Malaysia, dan MIDA berbangga mengetuai usaha ini,” katanya.
Menurut MIDA, RM4.68 bilion pelaburan berpotensi itu direkodkan daripada misi pelaburan selama seminggu ke Jepun meliputi Kyoto, Kobe, Osaka dan Tokyo dari 12 hingga 19 April 2025.
Pavilion Malaysia dijangka menarik 1.5 juta pengunjung sepanjang tempoh enam bulan ekspo itu diadakan, serta akan menganjurkan lebih 150 aktiviti perniagaan termasuk sesi meja bulat pelabur, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), pelancaran produk serta forum sektor,
Penyertaan dalam ekspo dunia itu melibatkan 21 kementerian, 70 agensi, dan wakil dari semua 13 negeri Malaysia, memperkukuh pendekatan bersepadu Malaysia terhadap penglibatan global.
Melalui penyertaan di Expo 2025 Osaka, MITI, bersama agensinya termasuk MIDA, menyasarkan hasil pelaburan dan perdagangan bernilai RM13 bilion di samping memfokuskan kepada tujuh sektor keutamaan iaitu pertanian mampan, tenaga boleh baharu, kehidupan pintar, pembuatan hijau, pembaharuan industri, pengurusan alam sekitar dan industri halal.