PUTRAJAYA: Peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman dibenarkan terus menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa perlu memiliki permit khas sehingga pindaan baharu Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 dimuktamadkan Oktober ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata dalam tempoh peralihan itu,tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap golongan peniaga berkenaan.

“Malah, mereka dibenarkan memperoleh bekalan LPG bersubsidi seperti biasa walaupun tanpa permit, selagi pindaan belum dimuktamadkan,“ katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang hari ini bersetuju dengan syor KPDN untuk meminda peraturan tersebut, yang mula dikuatkuasakan pada 15 Okt 2021 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Katanya pindaan itu antara lain mengambil kira keperluan peniaga makanan dan minuman berskala kecil dan mikro secara bersasar, selain memastikan kejelasan undang-undang dalam aspek pematuhan serta penguatkuasaan.

Mengulas lanjut, Armizan berkata pindaan berkenaan dijangka dimuktamadkan sebaik sahaja Ops Gasak yang sedang dilaksanakan tamat pada 31 Okt ini.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan itu tetap diteruskan bagi membanteras ketirisan LPG seperti kegiatan ‘decanting’ haram dan penyalahgunaan oleh pihak industri.

“Laporan Ops Gasak ini akan dijadikan asas penting dalam penyediaan undang-undang lebih jelas, bersesuaian dan inklusif, khususnya melibatkan peniaga kecil yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,“ katanya.

Beliau berkata proses pindaan akan diselaraskan menerusi sebuah Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan 1 Mei lalu dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN serta melibatkan kementerian dan agensi berkaitan.

“Selain wakil kerajaan, kita turut libatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan. Malah, saya akan mengadakan sesi libat urus bersama 10 persatuan perniagaan makanan dan minuman esok.

“Kita alu-alukan sebarang cadangan agar pindaan ini benar-benar dapat diguna pakai secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada golongan sasaran,“ katanya.

Untuk rekod, peraturan PPKB (Pindaan) 2021 ketika ini menghadkan pemilikan dan penggunaan LPG bersubsidi melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa tanpa Permit Barang Kawalan Berjadual.