KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan tepat untuk terus maju berdasarkan kejayaan mencapai kestabilan politik dan keamanan yang dikecapi dalam tempoh setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan mempunyai pasukan yang mengutamakan kestabilan politik dengan berusaha memperkenalkan setiap dasar yang jelas untuk meningkatkan keselesaan rakyat dalam pelbagai aspek antaranya kualiti pendidikan, kesihatan dan bantuan terus kepada rakyat secara adil.

“Sekarang tumpulah untuk membangunkan negara dan elakkan daripada unsur-unsur negatif kerana saya yakin kalau ini dapat kita lakukan dalam satu tahun, kita akan dapat tingkatkan Malaysia, lebih harum dan hebat di rantau ini.

Ini (pandangan) pemerhati politik, ekonomi dan pelabur yang semuanya melihat begitu,” kata Anwar pada program Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan MADANI: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung malam ini.

Perdana Menteri berkata apa yang penting adalah keselesaan rakyat dan kerajaan komited membantu rakyat yang terkesan berikutan kenaikan harga barang dengan melaksanakan pelbagai langkah antaranya pelaksanaan subsidi bersasar dan meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Selain itu, Anwar mengakui kenaikan kos sara hidup sememangnya menjadi masalah namun menerusi usaha payung Rahmah yang diperkenalkan ia dapat membantu rakyat, malah kerajaan berhasrat memperluaskan lagi inisiatif ke lebih banyak kawasan di seluruh negara.

“Kenaikan harga barang ini masalah dunia...sementara kita boleh kawal setakat yang sedaya kita,” katanya

Perdana Menteri berkata kerajaan melihat bantuan tunai adalah lebih baik berbanding pemberian subsidi secara pukal yang turut dinikmati golongan terkaya yang mewakili 10 peratus daripada penduduk negara ini, selain kira-kira 3.5 juta warga asing.

“Dengan penyasaran subsidi lebih banyak faedah yang kita beri suntikan, termasuklah seperti RM100 melalui inisiatif e-MADANI dan kita akan teruskannya,” katanya.

Saya beri jaminan andai kata penarikan subsidi berlaku dan ia memberi kesan kepada rakyat, kita akan tambah STR (Sumbangan Tunai Rahmah) ,“ katanya

-- Lagi akan datang - Bernama