KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mempertingkatkan peranannya dalam membantu negara membangun dan kurang membangun, selain melakukan pembaharuan agar terus relevan dalam sistem perdagangan global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perkara itu disampaikan ketika pertemuan beliau bersama dengan Ketua Pengarah WTO, Dr Ngozi Okonjo-Iweal.
“Kita perlu melihat apakah isu-isu yang menyebabkan WTO ini tidak se-efektif seperti dulu dan kita kena berani buat perubahan di peringkat WTO,“ katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Malaysia menyambut baik usaha pembaharuan WTO yang dijangka dibincangkan secara lebih mendalam pada Persidangan Menteri-Menteri WTO ke-14 (MC14) di Cameroon yang akan berlangsung tahun depan.
Pada pertemuan itu juga, Tengku Zafrul turut menekankan kepentingan prinsip multilateralisme iaitu persefahaman pelbagai hala dari segi perdagangan global, bukan unilateralisme.
Menurut beliau, Malaysia diwakili oleh Duta Tetap ke WTO dalam membincangkan mengenai hala tuju dan reformasi organisasi itu bersama negara-negara anggota lain.
“Kita pun ada ambassador dari WTO yang merupakan sebahagian daripada pasukan yang akan membincangkan bagaimana kita nak pastikan WTO ini kekal relevan dan terus membantu semua negara,“ katanya.