PUTRAJAYA: Malaysia berharap dicalonkan sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Jemaah Menteri sebelum ini membuat ketetapan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewakili negara untuk pencalonan sebagai Presiden Persidangan UN-Habitat.
“Pada 29 Mei ini, KPKT akan mewakili Malaysia untuk bersaing menjadi Presiden Persidangan UN-Habitat di Nairobi, Kenya dan kita harap dapat mengibarkan Jalur Gemilang di benua Afrika,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2024 di sini hari ini.
Nga sebelum ini dilaporkan berkata KPKT dipertanggungjawabkan untuk membuat segala persiapan bagi memastikan matlamat itu tercapai.
UN-Habitat yang diberi mandat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempromosikan bandar dan pengurusan bandar yang mampan, dari segi sosial dan alam sekitar dengan matlamat menyediakan tempat perlindungan yang mencukupi untuk semua.
Dalam pada itu, Nga menyeru warga KPKT selaku kementerian yang berpaksikan rakyat untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran selaras dengan kemajuan teknologi serta geopolitik global.
“Kita juga memerlukan kesepakatan dan iltizam daripada semua lapisan masyarakat, seiring dengan konsep 4P (perkongsian awam-swasta-rakyat) untuk memberikan yang terbaik dalam menangani isu global yang memberi kesan langsung kepada pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.
“Aspek tadbir urus yang baik juga perlu ditingkatkan secara berterusan agar ia memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Seramai 411 warga KPKT daripada pelbagai agensi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang menerima insentif RM1,000 berserta sijil.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib.