JOHOR BAHRU: Malaysia mengikuti rapat perkembangan ketegangan antara Pakistan dan India dan berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat memainkan peranan dalam mengawal keadaan di benua Asia Selatan itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia berharap satu penyelesaian yang baik dapat dicapai oleh kedua-dua negara bagi mengelak tercetusnya peperangan.

“Kedua-dua negara adalah negara sahabat bagi Malaysia, jadi kita tak mahulah kedua-duanya berperang kerana kalau berperang, tentunya mendatangkan kesan yang buruk, terutama kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri (PPN) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor Ke-56 di sini hari ini.

Pakistan hari ini dilaporkan mengulangi amaran pasukan risikan yang boleh dipercayai dan mendakwa India merancang melancarkan serangan tentera terhadap negara itu dalam masa terdekat.

Ia berikutan ketegangan antara kedua-dua negara bersenjata nuklear itu semakin memuncak susulan serangan berdarah mengorbankan 26 pelancong di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April.

India mengenal pasti tiga penyerang, termasuk dua warganegara Pakistan, sebagai pengganas yang menjalankan pemberontakan bersenjata di wilayah majoriti Islam itu manakala Islamabad menafikan sebarang pembabitan dan menggesa siasatan bebas dijalankan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan bercadang menyusun semula persatuan membabitkan veteran angkatan tentera bagi memastikan keberkesanan persatuan-persatuan terbabit.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 122 persatuan membabitkan veteran angkatan tentera dan ada sesetengah persatuan berkenaan tidak aktif serta memilik jumlah keahlian yang terlalu kecil.

“Jadi kita nak susun semula supaya persatuan yang diwujudkan benar-benar dapat memenuhi kehendak ahli dan pandangan mengenai hal veteran dapat dibawa secara bersepadu.

“Hal ini sekali gus akan meningkatkan keberkesanan serta perhatian yang diperoleh terhadap pandangan serta ‘suara’ veteran berbanding setiap persatuan bergerak sendirian,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan RM40,000 bagi kerja-kerja mengecat dan menaik taraf Pejabat PVATM di Johor Bahru serta RM44,000 bagi menjalankan aktiviti di peringkat cawangan PVATM negeri Johor.